Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan secara online?
Anda boleh membuat permohonan secara online dengan melayari edanapendidikan.
Sila muat turun Manual Pengguna untuk panduan.
Adakah pinjaman pelajaran kerajaan Negeri Selangor ini dibawah Yayasan Selangor?
Tidak. TKWBNS merupakan satu organisasi yang berasingan daripada Yayasan Selangor. TKWBNS bukan Yayasan Selangor. TKWBNS diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangordan peruntukan yang diterima adalah daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Berapakah kadar tajaan yang diberikan?
Kadar tajaan yang diberikan adalah mengikut peringkat pengajian. Kadar adalah sama bagi Universiti Awam dan Swasta. Berikut merupakan jadual kadar pembiayaan:
PERINGKAT PENGAJIAN

Kadar Setahun (RM)

Sijil 4,000.00
Diploma 8,000.00
Ijazah Pelbagai dan Veterinar 10,000.00
Ijazah Perubatan 12,000.00
Bagaimanakah pembayaran kepada peminjam dibuat?

Bayaran akan dibuat sebanyak 2 kali setahun secara pengkreditan terus ke akaun Bank Muamalat peminjam.

Adalah menjadi tanggungjawab peminjam untuk membuat semua bayaran yang berkaitan seperti yuran pengajian, asrama dan lain-lain kepada IPT masing-masing.

Bolehkah peminjam menamatkan pembiayaan sekiranya mendapat tajaan lain?
DIBENARKAN. Peminjam perlu membuat permohonan secara online di edanapendidikan.
Sila muat turun Manual Urusan Lain Selepas Tawaran untuk panduan pembatalan pembiayaan.
Bolehkah peminjam menerima 2 tajaan pada satu masa?
TIDAK DIBENARKAN. Pelajar tidak dibenarkan menerima sebarang tajaan lain seperti Biasiswa, Pinjaman atau Dermasiswa termasuk pelajar jurusan Perubatan, Pergigian dan Veterinar.
Bolehkah saya meneruskan tajaan sekiranya bertukar kursus/ tempat pengajian/ cuti belajar?
Peminjam perlu membuat permohonan bertulis kepada Urus Setia sekiranya bertukar kursus / tempat pengajian / cuti belajar. Kelulusan untuk meneruskan/pelanjutan pembiayaan adalah tertakluk kepada pertimbangan TKWBNS.
Apakah yang terjadi sekiranya saya tidak membuat permohonan bagi kes di atas?
Peminjam akan dikenakan tindakan selaras dengan klausa dalam dokumen perjanjian dan akan kehilangan kelayakan untuk mendapatkan sebarang pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran.
Bilakah peminjam perlu mula membuat bayaran balik?
Bayaran balik akan dijadualkan bermula selepas 6 bulan daripada tarikh tamat pengajian.
Bolehkah peminjam membuat penangguhan bayaran balik?
TKWBNS akan memberi pertimbangan untuk penangguhan bagi peminjam yang melanjutkan pengajian sekiranya peminjam membuat permohonan secara bertulis (email / kaunter / surat) kepada Urus Setia TKWBNS. Permohonan perlu dilampirkan bersama Surat Pengesahan Pelajar daripada pihak universiti.
Adakah pinjaman pelajaran Yayasan Selangor (YS) sama seperti di bawah Pinjaman Pelajaran yang ditawarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor?
TIDAK. YS merupakan satu organisasi yang berasingan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Bagaimanakan permohonan pinjaman pelajaran YS boleh dibuat?
Permohonan pinjaman pelajaran YS hanya boleh dibuat sekiranya tawaran pinjaman pelajaran telah diiklankan di laman web YS. Sila log masuk ke portal SPPS untuk mengisi permohonan secara online. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada Bahagian Pembiayaan Pendidikan sebelum tarikh tutup permohonan.
Apakah syarat-syarat kelayakan permohonan?
  1. Warganegara Malaysia.
  2. Pemohon/ ibu/ bapa lahir di Negeri Selangor / di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 01 Februari, 1974 / yang telah bermastautin di Negeri Selangor lebih 10 tahun dengan mendapat pengesahan daripada ADUN / Penghulu / Pengerusi JKKK/Ketua Kampung.
  3. Permohonan daripada keluarga yang berpendapatan per kapita di bawah RM 3,000.00 sahaja.
Berapakah kadar tajaan yuran tahunan yang diberikan?
Kadar tajaan yuran tahunan yang diberikan adalah mengikut peringkat pengajian dan tertakluk kepada institusi pengajian. Kadar pembiayaan pinjaman pelajaran seperti berikut;


PERINGKAT PENGAJIAN KADAR SETAHUN
Sijil Kemahiran (Institusi milik Kerajaan Negeri Selangor sahaja) RM 4,000.00 – RM 6,000.00
Diploma RM 2,000.00 – RM 7,000.00
Ijazah Sarjana Muda RM 3,000.00 – RM 8,000.00
Saya telah menamatkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran/Diploma dengan mendapat pinjaman pelajaran YS. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian lanjutan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?
BOLEH. Dengan syarat jumlah keseluruhan pinjaman di peringkat Sijil/Diploma dan Ijazah Sarjana Muda tidak melebihi RM40 Ribu
Saya telah menamatkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran/Diploma dengan mendapat pinjaman pelajaran daripada PTPTN. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian lanjutan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?
TIDAK BOLEH. Pinjaman pelajaran YS hanya akan ditawarkan kepada peminjam yang masih tidak mempunyai sebarang ikatan perjanjian pinjaman pelajaran dengan mana-mana agensi penajaan. Peminjam juga tidak menerima sebarang bentuk penajaan dalam bentuk biasiswa atau dermasiswa.
Saya telah berhenti/gagal pengajian di IPT dan ingin menyambung semula pengajian pada peringkat yang sama. Adakah saya masih boleh memohon pinjaman pelajaran YS?
BOLEH. Dengan syarat anda telah menyelesaikan sepenuhnya jumlah pinjaman yang diterima sebelum ini.
Saya ingin mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana/Doktor Falsafah (Phd). Bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?
TIDAK BOLEH. YS hanya menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar sehingga ke peringkat Ijazah pertama sahaja.
Saya telah mendapat tawaran pengajian di universiti luar negara. Bolehkah saya memohon pinjaman pelajaran YS?
TIDAK BOLEH. Pembiayaan pinjaman pelajaran YS hanya diberikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian dalam negara sahaja.
Bagaimana pembayaran kepada peminjam dibuat?
Bayaran akan dibuat sebanyak 2 kali setahun secara pengkreditan terus ke akaun peminjam.


Adalah menjadi tanggungjawab peminjam untuk membuat semua bayaran yang berkaitan seperti yuran pengajian, asrama dan lain-lain kepada IPT masing-masing.

Bolehkah peminjam menamatkan pembiayaan sekiranya mendapat tajaan lain?
DIBENARKAN. Peminjam perlu membuat permohonan rasmi secara bersurat kepada Bahagian Pembiayaan Pendidikan Yayasan Selangor. Jumlah pembiayaan yang telah diterima daripada YS hendaklah dijelaskan secara penuh sebaik sahaja surat tuntutan bayaran dikeluarkan kepada peminjam.
Bolehkah peminjam menerima 2 tajaan pada satu masa?
TIDAK DIBENARKAN. Pelajar tidak dibenarkan menerima sebarang tajaan lain seperti Biasiswa, Pinjaman atau Dermasiswa daripada mana-mana badan penajaan. Tawaran pinjaman pelajaran hanya diberikan kepada pelajar yang masih tiada sebarang ikatan perjanjian dengan mana-mana badan penajaan.
Bolehkah saya meneruskan pinjaman pelajaran sekiranya bertukar kursus / cuti belajar?
Peminjam perlu membuat permohonan bertulis kepada Bahagian Pembiayaan Pendidikan sekiranya bertukar kursus / cuti belajar. Kelulusan pertukaran kursus / cuti belajar (faktor kesihatan / mewakili universiti dalam sesuatu acara) yang menyebabkan ketidakhadiran di dalam sesi pembelajaran hendaklah mendapat kelulusan atau pengesahan daripada institusi berkenaan. Kelulusan untuk meneruskan/pelanjutan pembiayaan adalah tertakluk kepada pertimbangan Yayasan Selangor.
Apakah yang terjadi sekiranya saya tidak membuat permohonan bagi kes di atas?
Peminjam hanya akan dibiayai mengikut jumlah semester pengajian yang terlibat sahaja. Sebarang pertambahan bilangan semester pengajian atau terdapat sebarang pertambahan dalam kos pengajian tidak akan ditanggung oleh Yayasan Selangor.
Bilakah peminjam perlu mula membuat bayaran balik?
Bayaran balik akan dijadualkan bermula selepas 6 bulan daripada tarikh tamat pengajian.
Perlukah saya menunggu Notis Arahan Bayaran Balik daripada YS sebelum memulakan bayaran balik?
TIDAK. Peminjam bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik mengikut tempoh yang ditetapkan seperti yang dinyatakan di dalam Surat Pemberitahuan Bayaran Balik Pinjaman Pelajaran mengikut bulan mula bayar dan kadar bayaran yang telah ditetapkan.
Bilakah Tarikh bayaran balik dibayar setiap bulan?
Bayaran balik hendaklah dibuat selewat-lewatnya 27 haribulan setiap bulan untuk memastikan transaksi tersebut dikemas kini dalam penyata pada bulan semasa. Transaksi selepas tarikh tersebut akan dikemas kini dalam penyata pada bulan berikutnya.
Bolehkah saya membayar balik kurang daripada jumlah ansuran yang ditetapkan?
TIDAK. Jumlah yang dibayar kurang akan dianggap sebagai jumlah tunggakan dan jumlah tunggakan tersebut hendaklah dijelaskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Bolehkah permohonaan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) dibuat, sekiranya pemohon, ibu atau bapa bukan warganegara Malaysia?
• Tidak. Syarat utama mestilah warganegara Malaysia.
Adakah pemohon, ibu atau bapa bertaraf pemastautin tetap (PR) yang memegang Kad Pengenalan Merah boleh membuat permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)?
• Tidak. Hanya pemastautin tetap (PR) yang telah mendapat kewarganegaraan dengan memegang Kad Pengenalan Biru sahaja layak dipertimbangkan.
Adakah Pemohon, ibu atau bapa yang bukan lahir di Selangor boleh membuat permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)?
• Boleh dengan syarat pemohon, ibu atau bapa telah bermastautin dan menetap di Negeri Selangor selama 11 tahun dan pemohon telah bersekolah di Negeri Selangor tidak kurang dari 11 tahun.
Jika saya lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi sedang menetap dan bersekolah di kawasan yang bersempadanan dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana poskod tempat tinggal saya dan ibu bapa merupakan poskod Selangor. Selain itu, sekolah saya juga merupakan sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Adakah saya layak memohon?
• Untuk makluman, semakan bagi syarat kelayakan permohonan adalah berdasarkan dokumen yang telah dikemukakan kepada urus setia HPIPT. Sekiranya pemohon, ibu dan bapa menetap di Selangor, pemohon hendaklah mengemukakan bukti seperti Borang Pemastautin dan Bil Air/ Bil Elektrik/ Cukai Pintu / Tanah yang boleh menyokong permohonan tersebut.
Apakah syarat kelayakan IPTA atau IPTS pemohon untuk membuat permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)?
• Pemohon telah mendaftar di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sijil Kemahiran Tahap 4 secara sepenuh masa dan merupakan pelajar tahun pertama sahaja boleh membuat permohonan HPIPT. Untuk maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan HPIPT, sila layari laman web https://danapendidikan.selangor.gov.my/.
Adakah pelajar tahun pertama dan semester pertama merujuk perkara yang sama?
• Tidak. Pelajar tahun pertama bermaksud telah cukup tempoh satu tahun pengajian. (Contoh, jika pemohon telah mendaftar diri pada sesi Julai tahun 2018, pemohon hanya layak membuat permohonan HPIPT sehingga Julai tahun 2019 sahaja dalam tempoh permohonan HPIPT dibuka).
Adakah pemohon yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak membuat permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)?
• Tidak. Pemohon merupakan pelajar IPTA atau IPTS yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja diterima. Selain itu, pemohon yang belajar di Kolej Vokasional dan tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia juga tidak layak memohon.
Adakah pelajar yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam (6) boleh memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)?
• Tidak, pemohon yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam (6) bagi peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia adalah tidak layak memohon.
Jika saya mendapat tawaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG), adakah saya layak untuk memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)?
• Tidak. Pemohon yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi kerajaan yang mendapat elaun bulanan seperti Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Kejururawatan adalah tidak layak memohon.
Jika saya mendapat tawaran pelajaran peringkat Asasi Universiti selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), adakah saya layak untuk memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT)?
• Tidak. Pemohon yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Matrikulasi / Kursus Persediaan / Tahun Asas / A-Level / ACCA / LCCI / Ijazah Lanjutan / Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI / KPLI) / Pengajian Jarak Jauh (PJJ) / Pengajian Luar Kampus (PLK) adalah tidak layak memohon.
Adakah pemohon yang telah berjaya mendapat Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) semasa Diploma masih boleh membuat permohonan semasa Ijazah Sarjana Muda?
• Tidak. Pemohon hanya layak membuat permohonan sekali sahaja sekiranya telah berjaya.
Adakah pendapatan isi rumah berjumlah RM5,000 dan ke bawah itu di kira berdasarkan gaji pokok, gaji kasar atau gaji bersih?
• Pendapatan isi rumah berjumlah RM5,000 dan ke bawah di kira berdasarkan gaji pokok.
Bilakah bayaran untuk permohonan yang diluluskan akan dibuat kepada pemohon?
• Bagi permohonan yang telah diluluskan, bayaran akan dibuat secara berperingkat.
Bolehkah saya memuat turun Penyata Akaun Bank dari sistem perbankan dan tidak mendapatkan pengesahan oleh pihak bank?
• Anda dibenarkan untuk memuat turun Penyata Akaun Bank dari sistem perbankan. Namun begitu, sila pastikan penyata bank tersebut mempunyai nama bank, nama pemohon dan nombor akaun. Penyata akaun bank yang lengkap perlu diberikan bagi mengelakkan pengkreditan bayaran ke dalam akaun yang salah atau tidak aktif.
Berdasarkan semakan status permohonan HPIPT mendapati saya berstatus tidak lulus. Apakah yang perlu saya lakukan?
• Keputusan yang dipaparkan adalah kekal dan muktamad. Semakan kelulusan dikategorikan sebagai tidak lulus berdasarkan beberapa alasan berikut:
a) Pemohon tidak memenuhi syarat – syarat kelayakan.
b) Pemohon tidak memberikan dokumen sokongan yang lengkap seperti berikut:
  i. Dokumen sokongan yang di muatnaik di dalam portal tidak jelas dan tidak boleh dibaca;
  ii. Pengesahan dan cop rasmi oleh pihak institusi pengajian (IPT) bukan daripada pihak berkenaan;
  iii. Pengesahan permastautin dan pengesahan pendapatan ibu bapa atau penjaga tidak lengkap dan cop pengesahan adalah bukan dari pihak yang dibenarkan seperti yang dimaklumkan di dalam borang.
Adakah saya boleh mengemukakan rayuan sekiranya permohonan saya berstatus tidak lulus?
• Kelulusan yang dipaparkan di portal HPIPT adalah kekal dan muktamad. Permohonan yang lengkap dan menepati syarat sahaja yang akan diutamakan.